Pada era pascainovasi ini, negara Malaysia sedang
mengalami transformasi daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada
sebuah negara yang pesat dan rancak pembangunannya. Dewasa ini, Malaysia
mengorak langkah dalam menyongsong arus kemajuan yang kian deras. Namun,
sejajar dengan arus pembangunan negara, perkara yang acap kali merimaskan
masyarakat sarwajagat ialah isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang.
Dalam keghairahan mengejar kebendaan dan kemewahan, hubungan kekeluargaan yang
semakin renggang mula berakar umbi sejak dahulu lagi. Keluarga boleh
ditakrifkan sebagai satu institusi yang terdiri daripada orang‐orang yang tersayang dan dikasihi termasuk keturunan moyang yang sama.
Keluarga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, yakni keluarga nukleus dan
keluarga besar. Keluarga nukleus terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak serta
adik. Keluarga besar pula terdiri daripada keluarga nukleus, nenek, datuk,
sepupu, mak cik, dan pak cik. Mutakhir ini, hubungan kekeluargaan yang semakin
renggang dan bobrok kian menggamit perhatian semua pihak.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa
hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mampu menyumbang kepada pelbagai impak negatif. Antara kesan
daripada kemelut ini ialah kegagalan
ahli keluarga dalam memahami serta saling menghormati antara ahli keluarga
sendiri. Hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dapat dilihat
dengan ketara menerusi beberapa kejadian yang bobrok. Sebagai contoh, keratan
akhbar daripada Berita Harian pada 17 Julai 2005 melaporkan bahawa seorang bapa
bertindak mencabuli kehormatan dan merogol anak perempuannya semasa ketiadaan
orang lain di rumah. Kejadian sumbang mahram ini merupakan satu insiden yang
amat menyedihkan dam memalukan. Seandainya hubungan kekeluargaan semakin
renggang, ahli‐ahli keluarga akan menghadapi
masalah untuk berkomunikasi dan saling bertukar fikiran. Hal ini demikian
kerana hubungan yang renggang ini telah memusnahkan jalinan kekeluargaan yang
akrab dan erat. Oleh itu, ahli‐ahli keluarga tidak memahami antara
satu sama lain dan seterusnya konflik dan perselisihan faham mudah berlaku.
Kejadian ini akan mengakibatkan pergaduhan dan sekali gus ahli‐ahli keluarga bermusuhan sesama sendiri.
Di samping itu, hubungan
kekeluargaan yang semakin renggang turut menyumbang kepada masalah pengabaian ahli‐ahli
keluarga khususnya
golongan tua dan bayi. Penghantaran golongan warga emas yang uzur dan
pembuangan bayi yang masih belum mencecah usia tiga bulan tidak lagi asing
kepada masyarakat metropolitan khususnya di Kuala Lumpur. Masyarakat moden pada hari ini
beranggapan bahawa golongan warga emas merupakan suatu beban yang menyusahkan
mereka. Oleh itu, mereka bertindak menghantar golongan ini khususnya ibu bapa
mereka yang tua dan uzur ke rumah orang tua‐tua. Mereka langsung tidak memahami
perasaan ibu bapa mereka yang terasa diabaikan oleh cahaya mata sendiri. Selain
itu, ada pula golongan ibu bapa yang masih muda dan mentah pemikirannya
bertindak membuang bayi mereka ke dalam tong sampah mahupun meletakkannya di
tepi jalan dan di kaki lima.
Perbuatan yang hina ini dipercayai dilakukan atas sebab ibu bapa tidak bersedia
dan tidak mampu untuk memikul tanggungjawab untuk membela seorang bayi. Angkara
mengabaikan ahli keluarga khususnya warga emas merupakan senario yang amat
memalukan. Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua
pihak.
Peribahasa Melayu ada mengatakan masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada
angin yang bertiup.
Tiada pihak yang patut dipersalahkan melainkan ahli keluarga itu sendiri. Isu
hubungan kekeluargaan yang semakin renggang kian hangat diperdebatkan oleh
media massa.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap
ibu bapa yang individualistik dan materialistik merupakan pemangkin
utama kepada kemelut ini. Dewasa ini, golongan ibu bapa taksub mengejar
kebendaan dan beranggapan bahawa kerjaya dan wang ringgit adalah lebih afdal
daripada keluarga sendiri. Mereka turut beranggapan bahawa kemewahan dan
kerjaya dijadikan sebagai kayu ukur dalam menilai status sosial mahupun
kemampuan individu dalam masyarakat. Anggapan ini adalah salah sama sekali
kerana keluarga merupakan aset paling berharga bagi semua insan di seantero
marcapada. Keluarga merupakan aset yang paling signifikan dan tidak dapat
ditukar beli dengan wang ringgit. Akan tetapi, golongan ibu bapa yang lebih
mementingkan kerjaya semata‐mata untuk kepuasan dan keselesaan
diri sendiri telah mengabaikan anak-anak mereka dan menggantikan kasih
sayang dengan sogokan wang ringgit. Anak-anak ini telah kehilangan satu
wahana untuk bertukar fikiran dan pendapat dengan ibu bapa mereka. Mereka bertindak
mencari rakan sebaya dan meluahkan segala isi hati kepada rakan yang dipercayai
berupaya membantu mereka. Bertitik-tolak dari sinilah, gejala sosial
mula berlaku dan menular tanpa mencapai titik noktahnya.
Isu ini yang diumpamakan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan nyiru
haruslah ditangani dengan segera. Pelbagai langkah penyelesaian yang pragmatik,
sistematik dan konkrit haruslah diambil secara berterusan. Ahli keluarga
haruslah lebih banyak meluangkan masa
untuk keluarga. Masa yang diperuntukkan pula haruslah dimanfaatkan
dengan sepenuhnya. Sebaik-baiknya, segala konflik atau masalah yang dihadapi oleh
sesiapa sahaja dalam keluarga itu hendaklah dibawa berbincang bersama-sama.
Tambahan pula, ahli-ahli keluarga pula seharusnya menjadikan hari Ahad sebagai
hari keluarga supaya ahli keluarga dapat bersama-sama tanpa gangguan aktiviti lain
seperti mesyuarat dan aktiviti kokurikulum.
Selain itu, ahl-ahli keluarga
khususnya golongan remaja haruslah
didedahkan kepada didikan agama dan moral. Masyarakat kontemporari acap
kali memandang enteng mengenai didikan agama dan moral. Didikan agama dan moral
mampu membentuk jati diri dan hubungan kekeluargaan yang utuh. Melalui
pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1983) dan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah (1989), subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama telah
diperkenalkan. Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai‐nilai murni dalam jiwa pelajar
khususnya dalam menghargai dan mencintai keluarga. Namun demikian, pelajar
mutakhir ini hanya menganggap bahawa subjek‐subjek ini lebih berorientasikan
peperiksaan daripada ilmu praktikal. Dengan erti kata yang lain, ilmu teori
lebih diutamakan daripada ilmu praktikal. Jadi, pihak sekolah dan pelajar
haruslah berganding bahu sama ada dalam memberikan kesedaran tentang
kepentingan hubungan kekeluargaan yang erat atau dalam menghargai hubungan
kekeluargaan agar pergolakan mahupun konflik tidak ditimbulkan sesama ahli
keluarga.
Sebagai
intiha bicara, komitmen yang jitu dan padu haruslah diberikan daripada semua
pihak. Penerapan nilai-nilai murni mengenai hubungan kekeluargaan dalam jiwa anak-anak muda haruslah dilakukan sejak
dari usia yang muda lagi. Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang sepatutnya dijadikan
azimat demi kebahagiaan sejati . Generasi muda khususnya golongan muda haruslah
diberikan kesedaran mengenai keperluan sebuah institusi keluarga yang harmonis.
Remaja merupakan pemangkin dan pelopor kepada kepimpinan negara kelak.
Merekalah bakal pemimpin dan akan mengetuai pucuk pimpinan negara kelak.
Tambahan pula, remaja haruslah melengkapkan diri dengan lunas keluhuran moral
supaya hubungan kekeluargaan yang erat dapat dijalin. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita menjangkau sehabis
tangan dan menggembleng tenaga dalam membendung kemelut ini. Janganlah
menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis dari segi
kebudayaan dan nilai-nilai murni. Namun demikian, sekarang bukanlah masanya
untuk menopang dagu dan menuding jari. Misi dan visi rakyat jelata untuk
menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang tersohor dan terkemuka di seantero marcapada pasti
bersifat fatamorgana seandainya kemelut ini tidak dapat ditangani. Institusi
keluarga yang harmonis amatlah penting dalam melahirkan golongan pemimpin
negara kelak. Kejayaan seseorang individu bermula daripada institusi keluarga
yang sempurna. Pendek kata, segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok
negara haruslah berganding bahu dalam menangani kemelut hubungan kekeluargaan yang
semakin renggang. Jadikanlah “Rumahku
Syurgaku” sebagai tempat terperciknya
sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Jangan jadikan rumah
sebagai lembah pergaduhan mahupun pertelingkahan. Rumah sepatutnya dijadikan
sebagai satu tempat yang gembira dan bukannya sebagai satu tempat yang
menimbulkan suasana yang tegang.
No comments:
Post a Comment