Dalam meniti kehidupan yang
bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada ini, kita
seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya
yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa wajar dilestarikan
agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf
baru ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan
keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan
semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang menghayati
maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan
muda generasi kini yang telah bergotong- royong untuk membersihkan sesuatu
tempat? Oleh hal yang demikian, kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong
dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.
Kebaikan amalan
bergotong-royong yang paling signifikan ialah dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal
merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan
kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa.
Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji
oleh orang lain. Dengan melaksanakan amalan gotong–royong, kita dapat
memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan lebih
mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita
sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat
tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang
penghuni bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong untuk
menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil
menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong–
royong, kita juga dapat lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong
dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh .
Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya dipandang sepi oleh
masyarakat. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Selain itu, amalan
bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang
penting sebagai langkah membersihkan
tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu,
kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Secara peribadi, saya
berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil
kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting
dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan
daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk
menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai jika kita mengaktifkan
diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus
diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh
dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan
tempat tinggal .
Tak tumbuh
tak melata, tak sungguh orang tak kata. Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat
penting sebagai agen perpaduan .
Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan
Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun ke
setahun kerana rambut sama hitam,
hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita
dapat menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang
berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum masing-masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke
kandang kerbau menguak.
Melalui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih mempercayai masyarakat
sekeliling dan menghormati sesama insan. Dengan ini, kita akan hidup saling
membantu bagai aur dengan tebing
.
Melalui kegiatan yang
afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini seperti
yang dikatakan oleh Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah
menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita
berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam ,minum air. Jelas
beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional, awal
tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita sebagai
orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu
memasyarakatkan rakyat Malaysia
oleh sebab bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Aktiviti
bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan
semangat kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran
secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan terpanggil
untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat
dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan
merasai semangat bersatu padu. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan
secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan
untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin
dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di
hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah
yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan membantu apabila
kita menghadapi kesusahan nanti. Tidak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah
Melayu ada mengatakan bahawa Jiran
sepakat membawa berkat".
Intihanya, amalan
bergotong-royong membawa faedah yang banyak. Dengan mengamalkan semangat ini,
bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah secara tidak langsung. Bak
kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong
merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti
kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya
dalam kehidupan harian. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
No comments:
Post a Comment