Yang Dihormati
Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang adil lagi menegakkan kebenaran,
guru-guru dan rakan-rakan. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan.
Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah budaya melepak.
Hadirin yang
dihormati,
Budaya lepak ialah amalan
berkumpul tanpa arah tujuan, matlamat, objektif, hala tuju, misi dan visi,
biasanya oleh golongan remaja. Mereka memerhati orang ramai yang lalu-lalang di
situ, kadang-kadang sambil bermain lagu atau menghisap rokok. Adakalanya mereka
mengusik gadis-gadis yang lalu dengan bersiul atau gelak ketawa yang berlebihan
dengan keadaan yang tidak menentu. Budaya lepak ini juga sering dikaitkan
dengan kegiatan jenayah
Melepak bolehlah ditakrifkan
sebagai suatu aktiviti berehat di kawasan-kawasan tertentu tanpa sesuatu tujuan
yang berfaedah. Sejak akhir-akhir ini masalah melepak sering disiarkan melalui
media massa di
negara kita, dan keadaan ini telah membimbangkan semua pihak terutamanya pihak
sekolah dan ibu bapa. Sejak belakangan ini gejala ini didapati semakin serius
sehingga terdapat ramai pelajar yang sanggup ponteng sekolah kerana ingin
melepak.
Antara punca-punca timbulnya
masalah melepak ialah kurangnya kawalan, pengawasan dan perhatian ibu bapa
terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mungkin terlalu sibuk dengan hal
masing-masing sehingga tidak sempat untuk meluangkan masa melayan dan bermesra
dengan anak- anak mereka. Keadaan ini mengakibatkan anak-anak terasa diri
mereka diabaikan. Oleh sebab itu, mereka keluar untuk melepak dengan
rakan-rakan sebaya kerana ingin mendapatkan perhatian orang ramai. Ada juga ibu bapa yang
terlalu mengharapkan anak-anak mereka dididik sepenuhnya oleh guru-guru di
sekolah dan tidak mengambil perhatian yang berat dalam pendidikan anak-anak
Selain faktor kecuaian ibu bapa,
rakan juga memainkan peranan penting terhadap penularan gejala lepak di
kalangan remaja. Remaja mudah terpengaruh dengan hasutan dan ajakan rakan-rakan
untuk mencuba sesuatu perkara yang baru. Pada awalnya mereka menjadikan melepak
sebagai perkara suka-suka untuk memenuhi kemahuan rakan tetapi apabila mereka
merasakan keseronokan, lama-kelamaan ia menjadi satu tabiat yang sukar untuk
dikikis.
Persekitaran sosial juga
merupakan satu faktor yang amat penting dalam pertumbuhan gejala lepak yang
semakin berleluasa ini. Remaja yang tinggal di bandar lebih ramai melepak
berbanding dengan remaja yang tinggal di luar bandar. Fenomena ini disebabkan
di bandar tersedia pusat membeli-belah, video game atau
snuker dan sebagainya yang menjadi pemangkin penting dalam perkembangan remaja
melepak.
Antara kesan masalah melepak
yang paling ketara ialah memburukkan imej negara. Keadaan ini berlaku kerana
para pelancong yang datang ke negara ini akan mendapat gambaran yang buruk tentang
masyarakat di negara kita dan akan menceritakan keadaan ini apabila mereka
pulang ke negara mereka. Selain itu, para pelancong akan berasa terganggu
dengan suasana yang amat tidak menyenangkan ini. Mereka pasti akan membuat
tanggapan bahawa negara kita sudah hilang budaya ketimuran dan kini sedang
menuju ke era keruntuhan moral.
Gejala melepak ini boleh dicegah
sebelum parah sekiranya ibu bapa sanggup mengorbankan sedikit waktu untuk
bersama-sama anak-anak mereka sama ada di rumah ataupun dengan mengadakan
aktiviti keluarga di luar rumah. Dengan ini, anak-anak mungkin tidak berasa
bosan dan tidak akan mengamalkan tabiat melepak. Pihak ibu bapa yang mampu pula
mungkin dapat menyediakan beberapa kemudahan di rumah seperti perpustakaan
sendiri, komputer peribadi, permainan dan sebagainya supaya anak-anak dapat
mengisi masa lapang mereka di rumah dan tidak perlu keluar melepak.
Secara kesimpulannya, dapatlah
dikatakan bahawa masalah melepak yang berlaku di negara kita sekarang ini
memanglah suatu gejala yang diakui mengancam keharmonian negara dan boleh
memburukkan imej negara sekiranya tidak dicegah segera. Kerjasama daripada ibu
bapa, pihak sekolah, dan pihak polis amat diperlukan untuk menangani masalah
ini. Sekiranya kita dapat menyedarkan golongan remaja tentang keburukan
melepak, kita pasti masalah ini akan dapat diselesaikan dengan kadar segera,
dan imej negara yang semakin pudar akan dapat dipulihkan.
Sebelum saya mengakhiri syarahan saya pada hari ini, izinkan
saya untuk mendeklamasikan sebuah pantun yang berbunyi,
Pergi
ke hutan membawa kapak,
Pokok
ditebang dibawa ke kedah,
Anak
jantan asyik melepak,
Membuang
masa tanpa faedah.
No comments:
Post a Comment