Saturday, 7 September 2013

Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang



          Pada era pascainovasi ini, negara Malaysia sedang mengalami transformasi daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara yang pesat dan rancak pembangunannya. Dewasa ini, Malaysia mengorak langkah dalam menyongsong arus kemajuan yang kian deras. Namun, sejajar dengan arus pembangunan negara, perkara yang acap kali merimaskan masyarakat sarwajagat ialah isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Dalam keghairahan mengejar kebendaan dan kemewahan, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mula berakar umbi sejak dahulu lagi. Keluarga boleh ditakrifkan sebagai satu institusi yang terdiri daripada orangorang yang tersayang dan dikasihi termasuk keturunan moyang yang sama. Keluarga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, yakni keluarga nukleus dan keluarga besar. Keluarga nukleus terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak serta adik. Keluarga besar pula terdiri daripada keluarga nukleus, nenek, datuk, sepupu, mak cik, dan pak cik. Mutakhir ini, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dan bobrok kian menggamit perhatian semua pihak.
          Memang tidak dapat dinafikan bahawa hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mampu menyumbang kepada pelbagai impak negatif. Antara kesan daripada kemelut ini ialah kegagalan ahli keluarga dalam memahami serta saling menghormati antara ahli keluarga sendiri. Hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dapat dilihat dengan ketara menerusi beberapa kejadian yang bobrok. Sebagai contoh, keratan akhbar daripada Berita Harian pada 17 Julai 2005 melaporkan bahawa seorang bapa bertindak mencabuli kehormatan dan merogol anak perempuannya semasa ketiadaan orang lain di rumah. Kejadian sumbang mahram ini merupakan satu insiden yang amat menyedihkan dam memalukan. Seandainya hubungan kekeluargaan semakin renggang, ahliahli keluarga akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi dan saling bertukar fikiran. Hal ini demikian kerana hubungan yang renggang ini telah memusnahkan jalinan kekeluargaan yang akrab dan erat. Oleh itu, ahliahli keluarga tidak memahami antara satu sama lain dan seterusnya konflik dan perselisihan faham mudah berlaku. Kejadian ini akan mengakibatkan pergaduhan dan sekali gus ahliahli keluarga bermusuhan sesama sendiri.
          Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang turut menyumbang kepada masalah pengabaian ahliahli keluarga khususnya golongan tua dan bayi. Penghantaran golongan warga emas yang uzur dan pembuangan bayi yang masih belum mencecah usia tiga bulan tidak lagi asing kepada masyarakat metropolitan khususnya di Kuala Lumpur. Masyarakat moden pada hari ini beranggapan bahawa golongan warga emas merupakan suatu beban yang menyusahkan mereka. Oleh itu, mereka bertindak menghantar golongan ini khususnya ibu bapa mereka yang tua dan uzur ke rumah orang tuatua. Mereka langsung tidak memahami perasaan ibu bapa mereka yang terasa diabaikan oleh cahaya mata sendiri. Selain itu, ada pula golongan ibu bapa yang masih muda dan mentah pemikirannya bertindak membuang bayi mereka ke dalam tong sampah mahupun meletakkannya di tepi jalan dan di kaki lima. Perbuatan yang hina ini dipercayai dilakukan atas sebab ibu bapa tidak bersedia dan tidak mampu untuk memikul tanggungjawab untuk membela seorang bayi. Angkara mengabaikan ahli keluarga khususnya warga emas merupakan senario yang amat memalukan. Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.
          Peribahasa Melayu ada mengatakan masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada angin yang bertiup. Tiada pihak yang patut dipersalahkan melainkan ahli keluarga itu sendiri. Isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang kian hangat diperdebatkan oleh media massa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap ibu bapa yang individualistik dan materialistik merupakan pemangkin utama kepada kemelut ini. Dewasa ini, golongan ibu bapa taksub mengejar kebendaan dan beranggapan bahawa kerjaya dan wang ringgit adalah lebih afdal daripada keluarga sendiri. Mereka turut beranggapan bahawa kemewahan dan kerjaya dijadikan sebagai kayu ukur dalam menilai status sosial mahupun kemampuan individu dalam masyarakat. Anggapan ini adalah salah sama sekali kerana keluarga merupakan aset paling berharga bagi semua insan di seantero marcapada. Keluarga merupakan aset yang paling signifikan dan tidak dapat ditukar beli dengan wang ringgit. Akan tetapi, golongan ibu bapa yang lebih mementingkan kerjaya sematamata untuk kepuasan dan keselesaan diri sendiri telah mengabaikan anak-anak mereka dan menggantikan kasih sayang dengan sogokan wang ringgit. Anak-anak ini telah kehilangan satu wahana untuk bertukar fikiran dan pendapat dengan ibu bapa mereka. Mereka bertindak mencari rakan sebaya dan meluahkan segala isi hati kepada rakan yang dipercayai berupaya membantu mereka. Bertitik-tolak dari sinilah, gejala sosial mula berlaku dan menular tanpa mencapai titik noktahnya.
          Isu ini yang diumpamakan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan nyiru haruslah ditangani dengan segera. Pelbagai langkah penyelesaian yang pragmatik, sistematik dan konkrit haruslah diambil secara berterusan. Ahli keluarga haruslah lebih banyak meluangkan masa untuk keluarga. Masa yang diperuntukkan pula haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Sebaik-baiknya, segala konflik atau masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja dalam keluarga itu hendaklah dibawa berbincang bersama-sama. Tambahan pula, ahli-ahli keluarga pula seharusnya menjadikan hari Ahad sebagai hari keluarga supaya ahli keluarga dapat bersama-sama tanpa gangguan aktiviti lain seperti mesyuarat dan aktiviti kokurikulum.
          Selain itu, ahl-ahli keluarga khususnya golongan remaja haruslah didedahkan kepada didikan agama dan moral. Masyarakat kontemporari acap kali memandang enteng mengenai didikan agama dan moral. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati diri dan hubungan kekeluargaan yang utuh. Melalui pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1983) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (1989), subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama telah diperkenalkan. Program ini bertujuan untuk menerapkan nilainilai murni dalam jiwa pelajar khususnya dalam menghargai dan mencintai keluarga. Namun demikian, pelajar mutakhir ini hanya menganggap bahawa subjeksubjek ini lebih berorientasikan peperiksaan daripada ilmu praktikal. Dengan erti kata yang lain, ilmu teori lebih diutamakan daripada ilmu praktikal. Jadi, pihak sekolah dan pelajar haruslah berganding bahu sama ada dalam memberikan kesedaran tentang kepentingan hubungan kekeluargaan yang erat atau dalam menghargai hubungan kekeluargaan agar pergolakan mahupun konflik tidak ditimbulkan sesama ahli keluarga.
          Sebagai intiha bicara, komitmen yang jitu dan padu haruslah diberikan daripada semua pihak. Penerapan nilai-nilai murni mengenai hubungan kekeluargaan dalam jiwa anak-anak muda haruslah dilakukan sejak dari usia yang muda lagi. Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang sepatutnya dijadikan azimat demi kebahagiaan sejati . Generasi muda khususnya golongan muda haruslah diberikan kesedaran mengenai keperluan sebuah institusi keluarga yang harmonis. Remaja merupakan pemangkin dan pelopor kepada kepimpinan negara kelak. Merekalah bakal pemimpin dan akan mengetuai pucuk pimpinan negara kelak. Tambahan pula, remaja haruslah melengkapkan diri dengan lunas keluhuran moral supaya hubungan kekeluargaan yang erat dapat dijalin. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita menjangkau sehabis tangan dan menggembleng tenaga dalam membendung kemelut ini. Janganlah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis dari segi kebudayaan dan nilai-nilai murni. Namun demikian, sekarang bukanlah masanya untuk menopang dagu dan menuding jari. Misi dan visi rakyat jelata untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tersohor dan terkemuka di seantero marcapada pasti bersifat fatamorgana seandainya kemelut ini tidak dapat ditangani. Institusi keluarga yang harmonis amatlah penting dalam melahirkan golongan pemimpin negara kelak. Kejayaan seseorang individu bermula daripada institusi keluarga yang sempurna. Pendek kata, segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara haruslah berganding bahu dalam menangani kemelut hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Jadikanlah “Rumahku Syurgaku” sebagai tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Jangan jadikan rumah sebagai lembah pergaduhan mahupun pertelingkahan. Rumah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat yang gembira dan bukannya sebagai satu tempat yang menimbulkan suasana yang tegang.

Thursday, 22 August 2013

Cara-Cara Menggalakkan Pengguna Tempatan Membeli Barangan Malaysia

         Dalam menongkah arus perdana era globalisasi, liberalisasi dan dunia tanpa sempadan,memang tidak dinafikan bahawa dunia kita telah melangkah ke arah modenisasi. Abad ke-21 telah menyaksikan bahawa pelbagai cetusan idea dan percubaan yang membanggakan yang dilaksanakan supaya negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara moden yang lain. Sama ada kita sedar atau tidak lantaran, kita selalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan yang beronak yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya, barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan. Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan seharusnya dilontar jauh-jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri. Walau bagaimanapun, berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati bahawa peratusan rakyat Malaysia yang menggunakan barang buatan negara malah menyokong barangan buatan Malaysia telah menurun setiap tahun. Mengapakah perkara sebegini berlaku ? Mengapakah rakyat negara tidak sanggup menyokong buatan negara? Tepuk dada tanyalah selera kerana isu-isu ini telah menjadi buah mulut masyarakat negara kini. Berita ini sering dipaparkan di dada-dada akhbar dan tidak kurangnya di media massa. Pelbagai cara perlu dilaksanakan untuk menggalakkan pembelian barangan buatan Malaysia terutamanya rakyat negara sendiri.

        Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap rakyat kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini. Rakyat Malaysa perlu mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan. Manfaat serampang dua mata akan dinikmati oleh pelbagai pihak apabila rakyat mengutamakan barangan tempatan. Manfaat pertama ialah dapat mengelakkan pengaliran keluar wang negara ini. Kedua, dapat menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing. Berikutan itu, FOMCA(Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia) dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara perlu mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna. Senarai itu boleh diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikat-syarikat terbabit yang mengeluarkan barangan berkenaan. Jika rakyat Malaysia mengutamakan barangan buatan tempatan, terutama makanan, kita dapat menjimatkan RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan itu. Berikutan itu, pengguna dan rakyat perlu diberikan maklumat mengenai barangan buatan Malaysia dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit sekarang. Langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu kerajaan menggalakkan rakyat membeli barang buatan tempatan, serta kurang bergantung pada produk import.
     
   Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya sehingga menyebabkan ramai yang rambang mata. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran di luar negara. Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran. Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian, pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi produk luar negara. Untuk mengalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia, rakyat sendiri perlu mengamalkan tabiat berbelanja secara berhemat. Tabiat pembaziran dan berbelanja melebihi kemampuan pendapatan di kalangan rakyat negara ini yang turut menyumbang kepada penurunan ringgit disebabkan kemudahan memperolehi kemudahan kredit. Berikutan itu, rakyat perlu mengubah tabiat berbelanja dengan mengamalkan tabiat berhemat dalam perbelanjaan seperti menabung untuk mengurangkan kesan hutang. Dengan mengamalkan tabiat berjimat cermat dan berfikir sebelum membeli, rakyat dapat menjimat pembelanjaan malah dapat digunakan samasa kecemasan . Tindakan ini bagai sambil menyelam minum air. Rakyat sepatutnya menyokong barang buatan Malaysia yang tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Kalau rakyat Malaysia sendiri tidak menyokong negara sendiri lebihnya kepada pendatang dan pembeli daripada luar negara. Rakyat seharusnya memberikan sokongan sepenuhnya kepada negara sendiri dengan membeli barang buatan Malaysia yang semakin meningkat mutunya dan mampu bertanding dengan negara lain yang maju.

        Pada era langit terbuka ini, media massa merupakan satu medium yang signifikan dalam mempengaruhi pemikiran orang ramai. Sebagaimana, yang kita tahu, media massa boleh dibahagikan kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Dalam hal ini, pihak media memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan buatan Malaysia. Pihak media cetak memainkan peranan dalam menerangkan kebaikan barangan buatan Malaysia serta faedahnya malalui surat khabar dan majalah. Media cetak digalakkan mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan buatan Malaysia kerana dapat mempengaruhi minda manusia yang ramai bagai mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Hal ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan dan rakyat dalam pengeluaran barangan tempatan. Manakala, media elektronik seperti radio, televisyen dan internet juga merupakan wadah yang penting dalam penyebaran maklumat. Sebagai contoh, kewujudkan online membeli-belah membolehkan rakyat membeli barang buatan Malaysia dengan senang melalui internet. Sesungguhnya, pihak media massa memainkan peranan yang signifikan untuk menggalakkan anggota masyarakat kita supaya membeli barangan Malaysia. Kempen Beli Barangan Malaysia harus dijalankan atas kerjasama media massa dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Pelbagai iklan, dokumentari, rancangan, wawancara dan sebagainya harus disiarkan dalam siaran televisyen, radio, surat khabar dan majalah. Usaha sama kerajaan dan artis tempatan dalam mempromosikan barang buatan Malaysia dapat menarik minat orang ramai terutamanya golongan remaja. Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa media massa merupakan elemen yang penting dalam usaha mengalakkan orang ramai membeli barang buatan Malaysia.

        Pada masa yang sama, pihak swasta harus bertindak proaktif untuk mempromosikan barangan Malaysia. Salah satu tindakan yang maslahat adalah mengadakan ekspo di seluruh negara. Pengeluar harus bergabung tenaga untuk memperkenalkan barangan mereka kepada para pengguna. Ketika ekspo diadakan, jurujual atau jurucakap syarikat tersebut dapat memperkenalkan produk syarikat secara langsung kepada pengguna tentang keistimewaan dan keunikan produk mereka. Sebagai contohnya, ekspo kosmetik dan makanan herba tempatan boleh diadakan untuk memperkenalkan barangan buatan Malaysia yang juga tidak kurang mutunya dengan bahan kosmetik atau makanan kesihatan luar negara, seperti ditanggung halal, menggunakan bahan semula jadi dan boleh digunakan tanpa was-was. Sehubungan dengan itu, ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen pakaian tempat dan ekspo industri kecil dan sederhana juga patut diadakan dari semasa ke semasa. Hakikatnya, Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3 telah berjaya mengadakan ekspo barangan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pengeluar kita harus bersikap komitmen bagai genggam bara api biarlah sampai jadi arang. Keikhlasan dan kesungguhan mereka pasti dapat menarik perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia. Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan tidak sekadar bekerja bagai melepaskan batuk di tangga. Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barang tempatan. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Tetapi penduduk-penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini.

        Di samping itu, Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus menetapkan bahawa hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga yang istimewa. Atas tajaan pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant, Jusco, Tesco, Metrojaya, Parkson, Mydin dan sebagainya boleh mengadakan jualan megah atau jualan murah tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Jika harga barangan Malaysia sangat menawan, para pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya. Para pelancong juga turut terpukau oleh potongan harga yang istimewa. Di samping memajukan industri pelancongan, Karnival Membeli-belah Malaysia juga dapat melariskan barangan Malaysia. Usaha mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Ini akan dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan sebagai usaha untuk membantu merancakkan dan memacu tranformasi ekonomi negara. Kempen ini harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk memberi impak kepada sektor ekonomi. Justeru itu, semua agensi, sektor swasta dan NGO harus memainkan peranan masing-masing. Pihak berkenaan harus mengadakan pertandingan kuiz, melukis poster, menulis esei, dan lagu patriotik bersempena dengan kempen tersebut. Kata orang tua-tua, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan amat sinonim dengan kempen tersebut dapat mencelikkan minda pengguna kita supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Dengan mengadakan kempen kesedaran dan ceramah yang pelbagai bentuk, barang buatan Malaysia dapat diperkenalkan kepada orang ramai supaya semua orang tidak kira orang tempatan atau pendatang dapat mENARIK minat terhadap barang buatan Malaysia.

        Sementelahan pula, pihak sekolah perlu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja kita supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara ,dan sanggup berkorban untuk negara boleh disuntik kepada generasi muda kita. Kita patut mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keEMPAT malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik nagara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke araf baru. Jika pelajar kita telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita ,ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran. Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, kita mendapati bahawa pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam mengalakkan masyarakat membeli barang buatan Malaysia.


        Secara tuntasnya, pelbagai cara perlu dilaksanakan untuk menggalakkan masyarakat membeli barang buatan Malaysia. Berbagai-bagai pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mempromosikan kabaikan dan faedah membeli barangan buatan Malaysia. Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan bukan sekadar bekerja seperti melepaskan batuk di tangga. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Tetapi penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini. Ibu bapa juga harus menjadi rol model dan suri teladan yang baik kepada anak mereka kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Anak-anak seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berSINAR. Natijahnya, rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

Saturday, 17 August 2013

Penguasaan Pelbagai Bahasa Asing Dan Kepentingannya




Bahasa merupakan alat untuk berkomunikasi. Bahasa juga di gunakan sebagai alat penyebar ilmu dan maklumat. Kita digalakkan menguasai lebih dari satu bahasa. Menguasai lebih dari satu bahasa merupakan suatu bonus khususnya untuk berkomunikasi dengan bangsa asing. Hal ini memudahkan kita berkomunikasi dengan pelancong. Dengan menguasai pelbagai bahasa kita juga akan berasa lebih berkeyakinan kepada diri kita sendiri. Di dalam negara Malaysia ini ada lima bahasa kerana negara ini mempunyai 5 kaum utama. Sekiranya kita dapat menguasai bahasa tersebut, kita dapat berbual dengan orang yang bukan seagama dengan kita atau bukan sekaum dengan kita. Bahasa Melayu, India, Cina, Iban dan Kadazan semuanya daripada pelbagai kaum dan agama. Sekiranya kita fasih berbahasa lain kita dapat mengetahui adat resam mereka dan mereka juga akan mengetahui adat resam kita. Kita juga boleh membaca dalam pelbagai bahasa, dengan memperbanyakkan pembacaan kita akan memperoleh banyak ilmu. Jelaslah bahawa menguasai pelbagai bahasa mempunyai banyak kepentingan dan maslahatnya.

Kita lihat pula dari sudut propenguasaan pelbagai bahasa ini. Umum mengetahui dan tidak menafikan kepentingan dan faedah menguasai pelbagai bahasa asing. Di Malaysia, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan kepada sektor ekonomi mahupun maruah negara itu sendiri. Pada tahun 2004 sahaja jumlah pelancong dari China yang berkunjung ke negara ini telah mencecah 16.4 juta orang. Hal ini menunjukkan betapa besarnya sumbangan industri pelancongan kepada Malaysia. Tetapi angkaan jutaan itu sebenarnya menunjukkan kemerosotan dalam tinjauan ketidakpuasan hati pelancong yang pernah datang ke Malaysia. Mengapakah hal ini terjadi? Kebanyakan jawapan yang diberi ialah kesukaran untuk berkomunikasi dengan rakyat tempatan. Rata-rata rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa Cina, Inggeris, Jepun dan Perancis. Hal ini menjadi masalah kerana bahasa di atas merupakan antara bahasa yang menjadi keutamaan di dunia. Tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa yang sering digunakan oleh kebanyakan negara sebagai bahasa kedua mereka. Akibatnya, akan tercalarlah maruah negara di mata dunia. Negara akan dikenali sebagai rakyat yang mempunyai mentaliti yang rendah dan seterusnya akan menjejaskan ekonomi Malaysia.

Dalam pada masa itu juga, bahasa asing juga penting sebagai satu perantaraan yang memudahkan bual bicara untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu. Apakah tidak berkualiti bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu? Apakah bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang layak menjadi bahasa ilmu? Tepuk dada, tanya selera. Dewasa ini, penerokaan, penguasaan dan pengabdian terhadap ilmu pengetahuan banyak didalami oleh bangsa asing. Bangsa yang mana sejak lahir hingga mati akan menuturkan bahasa mereka sendiri. Sebagai umat Islam pula, bagaimana untuk kita merebut kembali tempat pertama dalam penguasaan ilmu yang suatu ketika dahulu didahului kita jika kita tidak mampu menkaji hasil kerja bangsa-bangsa asing. Ilmuan terkemuka dunia seperti Ibnu Sina dan Ibnu Khawarizmi juga mempelajari bahasa asing untuk mengembangkan ilmu yang mereka ada sehingga mereka menjadi terkenal sekarang ini. Yunani telah menyebabkan karya Ibnu Sina seperti buku perubatan, Kanun Fi’al Tib diterima pakai lebih 500 tahun lamanya di universiti-universiti di Barat hampir sealaf lalu. Bahasa Hindus juga telah menyebabkan Ibnu Khawarizmi diiktiraf sebagai ahli matematik terbaik di dunia sehingga sekarang dengan teori berkaitan aljebra. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya bahasa asing terhadap perkembangan ilmu,

Berkisar tentang ilmu juga, bahasa asing amat penting terutamanya dalam melayari cabang pendidikan pada masa ini. Alam pendidikan sekarang ini lebih bersifat terbuka dan tanpa sempadan. Jika kita perhatikan, kebanyakan universiti yang wujud di dalam mahupun di luar negara sering menjadi tumpuan pelajar-pelajar yang bukan dari negara mereka sendiri. Pelajar-pelajar yang datang ke universiti itu bukan sahaja datang dari negara jiran malah beribu-ribu batu jauhnya untuk melanjutkan pelajaran. Malaysia sendiri mempunyai ramai rakyat yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Cabang pendidikan tanpa sempadan ini menghendaki golongan pelajar lebih prihatin terhadap penguasaan bahasa asing. Bagaimana hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara jika diri sendiri tidak tahu bertutur dalam bahasa ibunda mereka? Bagaimana untuk kita bergaul dengan rakyat tempatan di negara mereka jika kita hanya tahu bahasa ibunda sendiri? Oleh hal yang demikian, individu khususnya golongan pelajar perlu lebih mengambil berat terhadap penguasaan bahasa asing. Mungkin pada hari ini pelajar-pelajar mampu berbicara dan berdebat tentang tidak perlunya bahasa asing ini, tetapi sedarlah bahawa pada suatu hari nanti kita juga yang akan merangkak untuk mempelajari bahasa tersebut.

Dalam meniti arus globalisasi yang sangat berbeza dengan arus pemodenan, kita dihimpit dengan tekanan dari peringkat antarabangsa berkaitan kewangan dan pekerjaan. Disebabkan ini juga ramai rakyat Malaysia yang menganggur dan ramai yang menyalahkan tekanan antarabangsa sebagai penghalang kemajuan sedangkan salah itu datangnya daripada diri mereka sendiri. Salah satu faktor yang menyumbang kepada pengangguran ini adalah kelemahan dan kekurangan dalam menguasai bahasa selain bahasa ibunda. Majikan sekarang ini lebih menumpukan perhatian kepada pekerja-pekerja yang mempunyai kelebihan dalam bahasa lain. Maka, pekerja-pekerja seperti ini akan menjadi kegemaran majikan untuk diterima bekerja dan malanglah bagi individu lain yang mempunyai kemahiran dan kelulusan yang sama tetapi mempunyai kelemahan dalam menguasai bahasa asing. Bagi pekerja-pekerja ini, mereka tidak menyedari kelemahan mereka dan menyalahkan orang lain sedangkan kelemahan itu datangnya daripada diri mereka sendiri. Akhirnya, tahun demi tahun dihabiskan dengan melihat kepada satu rumusan yang dibuat sendiri dengan meletakkan kesalahan di bahu majikan yang memilih bulu kononnya. Maka, tidak ada suatu perubahan mahupun reformasi yang dilakukan untuk merubah diri sendiri.
Selain pelancongan, pendidikan dan pekerjaan, bahasa asing boleh dijadikan platform yang sangat berguna untuk mengeratkan satu individu dengan individu yang lain. Hubungan antarabangsa juga boleh dijalinkan lebih erat dengan menguasai bahasa mereka. Bahasa Melayu juga pernah menjadi lingua franca sewaktu zaman kegemilangan empayar Melaka pada suatu masa dahulu. Pedagang-pedagang yang datang berdagang juga memilih bahasa Melayu untuk dituturkan sedangkan masih ada berpuluh-puluh bahasa yang digunakan para pedagang pada masa itu. Pedagang-pedagang berasakan bahawa bahasa Melayu mudah difahami dan dituturkan. Negara China juga menjalinkan hubungan yang baik dengan negeri Melaka dari segi pertahanan sehinggakan China sanggup menghantar jeneralnya yang terkemuka iaitu Jeneral Cheng Ho untuk bertemu dengan pemerintahan Melaka. Disebabkan hubungan Melaka-China jugalah, Siam tidak berani untuk terus memberikan tekanan ke atas Melaka. Begitulah betapa pentingnya penguasaan bahasa asing dalam mengeratkan hubungan antarabangsa. Malaysia juga sebagai sebuah negara majmuk, mengharapkan rakyatnya menguasai bahasa asing terutamanya bahasa Mandarin dan bahasa Tamil .

Sehubungan dengan itu, walaupun pelbagai tafsiran sama ada positif ataupun negatif dibuat berkaitan penguasaan bahasa asing, kita perlu menyedari kepentingan bahasa asing dari skop yang lebih luas. Dalam bahasa yang lebih mudah, bahasa asing mempunyai pengaruh yang besar terhadap sektor pelancongan, pendidikan, pekerjaan dan perhubungan malah dalam kehidupan seharian kita. Di Malaysia, penguasaan bahasa asing adalah sangat lemah. Altitud ini pula ditambah lagi dengan sikap segelintir golongan masyarakat yang tidak mengambil tahu kepentingannya malah menentang bahasa asing. Sememangnya bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris merupakan bahasa penjajah tetapi bukankah Tunku Abdul Rahman juga menggunakan bahasa tersebut semasa menuntut kemerdekaan di London? Bukankah kita juga merubah kosa kata bahasa asing untuk dimelayukan? Bukankah bahasa Melayu sendiri terbentuk daripada bahasa Sanskrit? Mengata bahasa asing, sekurang-kurangnya bahasa tersebut ada pengiktirafan tersendiri. Jika hendak menentang dan membunuh bahasa asing dalam jiwa rakyat Malaysia adalah lebih baik kita menentang dan membunuh bahasa rojak yang semakin hari semakin menjadi-jadi di Malaysia. Malah tanpa kita sedar, kita menggunakan bahasa tersebut dalam pertuturan seharian. Mengata dulang paku serpih, mengata orang diri sendiri yang lebih. Jangan sampai terjadi menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri. Sebelum nasi menjadi bubur, seharusnya semua pihak bersinergi dalam meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa dalam diri. Usaha yang padu dan komited bukan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam daripada semua rakyat Malaysia amatlah diharapkan dalam merealisasikan Wawasan 2020.
[1208 patah kata]

Kebaikan Amalan Gotong-Royong




           Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa wajar dilestarikan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baru ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang menghayati maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan muda generasi kini yang telah bergotong- royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian, kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.

Kebaikan amalan bergotong-royong yang paling signifikan ialah dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan melaksanakan amalan gotong–royong, kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong untuk menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong– royong, kita juga dapat lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh . Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya dipandang sepi oleh masyarakat. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai jika kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum masing-masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melalui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih mempercayai masyarakat sekeliling dan menghormati sesama insan. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing .

Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini seperti yang dikatakan oleh Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam ,minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu padu. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tidak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa Jiran sepakat membawa berkat".

Intihanya, amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak. Dengan mengamalkan semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah secara tidak langsung. Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Syarahan - Budaya Melepak



Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang adil lagi menegakkan kebenaran, guru-guru dan rakan-rakan. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah budaya melepak.
Hadirin yang dihormati,

Budaya lepak ialah amalan berkumpul tanpa arah tujuan, matlamat, objektif, hala tuju, misi dan visi, biasanya oleh golongan remaja. Mereka memerhati orang ramai yang lalu-lalang di situ, kadang-kadang sambil bermain lagu atau menghisap rokok. Adakalanya mereka mengusik gadis-gadis yang lalu dengan bersiul atau gelak ketawa yang berlebihan dengan keadaan yang tidak menentu. Budaya lepak ini juga sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah

Melepak bolehlah ditakrifkan sebagai suatu aktiviti berehat di kawasan-kawasan tertentu tanpa sesuatu tujuan yang berfaedah. Sejak akhir-akhir ini masalah melepak sering disiarkan melalui media massa di negara kita, dan keadaan ini telah membimbangkan semua pihak terutamanya pihak sekolah dan ibu bapa. Sejak belakangan ini gejala ini didapati semakin serius sehingga terdapat ramai pelajar yang sanggup ponteng sekolah kerana ingin melepak.

Antara punca-punca timbulnya masalah melepak ialah kurangnya kawalan, pengawasan dan perhatian ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mungkin terlalu sibuk dengan hal masing-masing sehingga tidak sempat untuk meluangkan masa melayan dan bermesra dengan anak- anak mereka. Keadaan ini mengakibatkan anak-anak terasa diri mereka diabaikan. Oleh sebab itu, mereka keluar untuk melepak dengan rakan-rakan sebaya kerana ingin mendapatkan perhatian orang ramai. Ada juga ibu bapa yang terlalu mengharapkan anak-anak mereka dididik sepenuhnya oleh guru-guru di sekolah dan tidak mengambil perhatian yang berat dalam pendidikan anak-anak

Selain faktor kecuaian ibu bapa, rakan juga memainkan peranan penting terhadap penularan gejala lepak di kalangan remaja. Remaja mudah terpengaruh dengan hasutan dan ajakan rakan-rakan untuk mencuba sesuatu perkara yang baru. Pada awalnya mereka menjadikan melepak sebagai perkara suka-suka untuk memenuhi kemahuan rakan tetapi apabila mereka merasakan keseronokan, lama-kelamaan ia menjadi satu tabiat yang sukar untuk dikikis.

Persekitaran sosial juga merupakan satu faktor yang amat penting dalam pertumbuhan gejala lepak yang semakin berleluasa ini. Remaja yang tinggal di bandar lebih ramai melepak berbanding dengan remaja yang tinggal di luar bandar. Fenomena ini disebabkan di bandar tersedia pusat membeli-belah, video game atau snuker dan sebagainya yang menjadi pemangkin penting dalam perkembangan remaja melepak.

Antara kesan masalah melepak yang paling ketara ialah memburukkan imej negara. Keadaan ini berlaku kerana para pelancong yang datang ke negara ini akan mendapat gambaran yang buruk tentang masyarakat di negara kita dan akan menceritakan keadaan ini apabila mereka pulang ke negara mereka. Selain itu, para pelancong akan berasa terganggu dengan suasana yang amat tidak menyenangkan ini. Mereka pasti akan membuat tanggapan bahawa negara kita sudah hilang budaya ketimuran dan kini sedang menuju ke era keruntuhan moral.

Gejala melepak ini boleh dicegah sebelum parah sekiranya ibu bapa sanggup mengorbankan sedikit waktu untuk bersama-sama anak-anak mereka sama ada di rumah ataupun dengan mengadakan aktiviti keluarga di luar rumah. Dengan ini, anak-anak mungkin tidak berasa bosan dan tidak akan mengamalkan tabiat melepak. Pihak ibu bapa yang mampu pula mungkin dapat menyediakan beberapa kemudahan di rumah seperti perpustakaan sendiri, komputer peribadi, permainan dan sebagainya supaya anak-anak dapat mengisi masa lapang mereka di rumah dan tidak perlu keluar melepak.

Secara kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa masalah melepak yang berlaku di negara kita sekarang ini memanglah suatu gejala yang diakui mengancam keharmonian negara dan boleh memburukkan imej negara sekiranya tidak dicegah segera. Kerjasama daripada ibu bapa, pihak sekolah, dan pihak polis amat diperlukan untuk menangani masalah ini. Sekiranya kita dapat menyedarkan golongan remaja tentang keburukan melepak, kita pasti masalah ini akan dapat diselesaikan dengan kadar segera, dan imej negara yang semakin pudar akan dapat dipulihkan.


Sebelum saya mengakhiri syarahan saya pada hari ini, izinkan saya untuk mendeklamasikan sebuah pantun yang berbunyi,

Pergi ke hutan membawa kapak,
Pokok ditebang dibawa ke kedah,
Anak jantan asyik melepak,
Membuang masa tanpa faedah.