Thursday, 22 August 2013

Cara-Cara Menggalakkan Pengguna Tempatan Membeli Barangan Malaysia

         Dalam menongkah arus perdana era globalisasi, liberalisasi dan dunia tanpa sempadan,memang tidak dinafikan bahawa dunia kita telah melangkah ke arah modenisasi. Abad ke-21 telah menyaksikan bahawa pelbagai cetusan idea dan percubaan yang membanggakan yang dilaksanakan supaya negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara moden yang lain. Sama ada kita sedar atau tidak lantaran, kita selalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan yang beronak yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya, barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan. Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan seharusnya dilontar jauh-jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri. Walau bagaimanapun, berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati bahawa peratusan rakyat Malaysia yang menggunakan barang buatan negara malah menyokong barangan buatan Malaysia telah menurun setiap tahun. Mengapakah perkara sebegini berlaku ? Mengapakah rakyat negara tidak sanggup menyokong buatan negara? Tepuk dada tanyalah selera kerana isu-isu ini telah menjadi buah mulut masyarakat negara kini. Berita ini sering dipaparkan di dada-dada akhbar dan tidak kurangnya di media massa. Pelbagai cara perlu dilaksanakan untuk menggalakkan pembelian barangan buatan Malaysia terutamanya rakyat negara sendiri.

        Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap rakyat kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini. Rakyat Malaysa perlu mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan. Manfaat serampang dua mata akan dinikmati oleh pelbagai pihak apabila rakyat mengutamakan barangan tempatan. Manfaat pertama ialah dapat mengelakkan pengaliran keluar wang negara ini. Kedua, dapat menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing. Berikutan itu, FOMCA(Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia) dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara perlu mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna. Senarai itu boleh diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikat-syarikat terbabit yang mengeluarkan barangan berkenaan. Jika rakyat Malaysia mengutamakan barangan buatan tempatan, terutama makanan, kita dapat menjimatkan RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan itu. Berikutan itu, pengguna dan rakyat perlu diberikan maklumat mengenai barangan buatan Malaysia dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit sekarang. Langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu kerajaan menggalakkan rakyat membeli barang buatan tempatan, serta kurang bergantung pada produk import.
     
   Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya sehingga menyebabkan ramai yang rambang mata. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran di luar negara. Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran. Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian, pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi produk luar negara. Untuk mengalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia, rakyat sendiri perlu mengamalkan tabiat berbelanja secara berhemat. Tabiat pembaziran dan berbelanja melebihi kemampuan pendapatan di kalangan rakyat negara ini yang turut menyumbang kepada penurunan ringgit disebabkan kemudahan memperolehi kemudahan kredit. Berikutan itu, rakyat perlu mengubah tabiat berbelanja dengan mengamalkan tabiat berhemat dalam perbelanjaan seperti menabung untuk mengurangkan kesan hutang. Dengan mengamalkan tabiat berjimat cermat dan berfikir sebelum membeli, rakyat dapat menjimat pembelanjaan malah dapat digunakan samasa kecemasan . Tindakan ini bagai sambil menyelam minum air. Rakyat sepatutnya menyokong barang buatan Malaysia yang tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Kalau rakyat Malaysia sendiri tidak menyokong negara sendiri lebihnya kepada pendatang dan pembeli daripada luar negara. Rakyat seharusnya memberikan sokongan sepenuhnya kepada negara sendiri dengan membeli barang buatan Malaysia yang semakin meningkat mutunya dan mampu bertanding dengan negara lain yang maju.

        Pada era langit terbuka ini, media massa merupakan satu medium yang signifikan dalam mempengaruhi pemikiran orang ramai. Sebagaimana, yang kita tahu, media massa boleh dibahagikan kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Dalam hal ini, pihak media memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan buatan Malaysia. Pihak media cetak memainkan peranan dalam menerangkan kebaikan barangan buatan Malaysia serta faedahnya malalui surat khabar dan majalah. Media cetak digalakkan mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan buatan Malaysia kerana dapat mempengaruhi minda manusia yang ramai bagai mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Hal ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan dan rakyat dalam pengeluaran barangan tempatan. Manakala, media elektronik seperti radio, televisyen dan internet juga merupakan wadah yang penting dalam penyebaran maklumat. Sebagai contoh, kewujudkan online membeli-belah membolehkan rakyat membeli barang buatan Malaysia dengan senang melalui internet. Sesungguhnya, pihak media massa memainkan peranan yang signifikan untuk menggalakkan anggota masyarakat kita supaya membeli barangan Malaysia. Kempen Beli Barangan Malaysia harus dijalankan atas kerjasama media massa dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Pelbagai iklan, dokumentari, rancangan, wawancara dan sebagainya harus disiarkan dalam siaran televisyen, radio, surat khabar dan majalah. Usaha sama kerajaan dan artis tempatan dalam mempromosikan barang buatan Malaysia dapat menarik minat orang ramai terutamanya golongan remaja. Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa media massa merupakan elemen yang penting dalam usaha mengalakkan orang ramai membeli barang buatan Malaysia.

        Pada masa yang sama, pihak swasta harus bertindak proaktif untuk mempromosikan barangan Malaysia. Salah satu tindakan yang maslahat adalah mengadakan ekspo di seluruh negara. Pengeluar harus bergabung tenaga untuk memperkenalkan barangan mereka kepada para pengguna. Ketika ekspo diadakan, jurujual atau jurucakap syarikat tersebut dapat memperkenalkan produk syarikat secara langsung kepada pengguna tentang keistimewaan dan keunikan produk mereka. Sebagai contohnya, ekspo kosmetik dan makanan herba tempatan boleh diadakan untuk memperkenalkan barangan buatan Malaysia yang juga tidak kurang mutunya dengan bahan kosmetik atau makanan kesihatan luar negara, seperti ditanggung halal, menggunakan bahan semula jadi dan boleh digunakan tanpa was-was. Sehubungan dengan itu, ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen pakaian tempat dan ekspo industri kecil dan sederhana juga patut diadakan dari semasa ke semasa. Hakikatnya, Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3 telah berjaya mengadakan ekspo barangan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pengeluar kita harus bersikap komitmen bagai genggam bara api biarlah sampai jadi arang. Keikhlasan dan kesungguhan mereka pasti dapat menarik perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia. Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan tidak sekadar bekerja bagai melepaskan batuk di tangga. Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barang tempatan. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Tetapi penduduk-penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini.

        Di samping itu, Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus menetapkan bahawa hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga yang istimewa. Atas tajaan pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant, Jusco, Tesco, Metrojaya, Parkson, Mydin dan sebagainya boleh mengadakan jualan megah atau jualan murah tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Jika harga barangan Malaysia sangat menawan, para pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya. Para pelancong juga turut terpukau oleh potongan harga yang istimewa. Di samping memajukan industri pelancongan, Karnival Membeli-belah Malaysia juga dapat melariskan barangan Malaysia. Usaha mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Ini akan dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan sebagai usaha untuk membantu merancakkan dan memacu tranformasi ekonomi negara. Kempen ini harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk memberi impak kepada sektor ekonomi. Justeru itu, semua agensi, sektor swasta dan NGO harus memainkan peranan masing-masing. Pihak berkenaan harus mengadakan pertandingan kuiz, melukis poster, menulis esei, dan lagu patriotik bersempena dengan kempen tersebut. Kata orang tua-tua, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan amat sinonim dengan kempen tersebut dapat mencelikkan minda pengguna kita supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Dengan mengadakan kempen kesedaran dan ceramah yang pelbagai bentuk, barang buatan Malaysia dapat diperkenalkan kepada orang ramai supaya semua orang tidak kira orang tempatan atau pendatang dapat mENARIK minat terhadap barang buatan Malaysia.

        Sementelahan pula, pihak sekolah perlu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja kita supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara ,dan sanggup berkorban untuk negara boleh disuntik kepada generasi muda kita. Kita patut mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keEMPAT malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik nagara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke araf baru. Jika pelajar kita telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita ,ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran. Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, kita mendapati bahawa pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam mengalakkan masyarakat membeli barang buatan Malaysia.


        Secara tuntasnya, pelbagai cara perlu dilaksanakan untuk menggalakkan masyarakat membeli barang buatan Malaysia. Berbagai-bagai pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mempromosikan kabaikan dan faedah membeli barangan buatan Malaysia. Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan bukan sekadar bekerja seperti melepaskan batuk di tangga. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Tetapi penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini. Ibu bapa juga harus menjadi rol model dan suri teladan yang baik kepada anak mereka kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Anak-anak seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berSINAR. Natijahnya, rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

6 comments:

  1. First to comment ..
    Terima kasih atas karangan atau ape2 je yg cik post. Btol2 menghargainya. ^_^

    ReplyDelete
  2. rumuskan boleh tak please dalam 120 patah perkataan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sail? Power betul bm kau ni....Belajar mana? HITLER DOEEE

      Delete
  3. thanksssssssss:3

    ReplyDelete